Cinta Sebelum Kahwin Itu Ada. Halal.
credit to Hilal Asyraf on Sunday, January 22,
2012 at 9:29pm ·
Cinta. Rata-rata masyarakat melayu, mereka yang berkecimpung dalam
gerakan dakwah, juga mereka yang berada dalam golongan ‘baik’ dan
‘bertatasusila’, apabila disebut berkenaan cinta sebelum kahwin, akan memandang
negatif. Cinta sebelum kahwin kelihatan kotor dan menjijikkan. Cinta sebelum
kahwin kelihatan merosakkan.
Dan pandangan ini mendatangkan 1001 permasalahan kepada perjalanan cinta yang
baik dalam kalangan muda-mudi khususnya, juga masyarakat amnya.
Definisi Cinta Kita, Ambil Daripada
Mana?
Bila disebut cinta, apakah yang kita nampak dan faham?
Jika disebutkan cinta kepada saya, saya memahaminya sebagai ‘untuk bersama ke
syurgaNya’. Tiada lain. Untuk saya, ‘apa-apa sahaja yang membawa kepada neraka
Allah SWT’ itu bukan cinta. Definisi cinta inilah yang saya pakai, dan saya
kira, kita semua patut lihat bahawa inilah dia cinta. Kerana, apabila kita
menyatakan bahawa kita kasih, kita sayang kepada seseorang, adalah amat
mustahil kita hendak mencederakannya, menyakitkannya, melukakannya. Semestinya
kita mahu memberikan yang terbaik kepadanya. Maka apakah ‘terbaik’ yang
sebenarnya selain syurga Allah SWT?
Tetapi saya melihat, definisi ini tidak dikongsikan oleh kebanyakan masyarakat.
Rata-rata memandang bahawa cinta adalah hubungan intim antara lelaki dan
perempuan. Cinta mesti ada kaitannya dengan melalaikan, mengasyikkan. Cinta
dengan seks tidak dipisahkan. Cinta mesti ada pegang-pegang tangan, keluar
bersama, berdua-duaan, mengucap kalimat-kalimat jiwang, angau dan sebagainya.
Ya. Itu pandangan kebanyakan apabila disebut berkenaan cinta.
Kerana itu, apabila disebut ‘cinta sebelum kahwin’, kelihatannya tersangat
‘taboo’. Akhirnya muncul lah ajaran-ajaran bahawa ‘cinta selepas kahwin’ lebih
membawa berkat dan sebagainya. ‘Cinta sebelum kahwin’ adalah haram dan
sebagainya. Begitulah.
Sebenarnya, definisi cinta yang dipegang oleh masyarakat ini, datangnya
daripada mana?
Mudah saya ungkapkan, ini semua adalah daripada cinta yang ditunjukkan di dalam
Hollywood. Cinta lelaki perempuan, dengan ciuman, dengan keluar berdua-duaan,
dengan sentuhan, dengan seks, tanpa mengira batas agama dan tatatertib
kesopanan masyarakat.
Ya. Kita nampak cinta dengan definisi itu.
Sebab itu akhirnya, cinta kelihatan jijik untuk dibicarakan.
Cinta diharamkan sebelum perkahwinan.
Sedangkan, cinta hanyalah mangsa keadaan.
Manusia itu sendiri yang perlu memperbetulkan pandangan.
Apabila Cinta Silap Dipandang.
Apabila kita silap mendefinisikan cinta, maka silaplah kita akan cara
melayannya.
Kesilapan ini membawa kepada larangan terhadap remaja untuk mempelajari cinta
yang sebenar.
“Hish, kecik-kecik dah gatal!”
Akhirnya, dek kerana tidak mendapat pendidikan cinta yang sebenar,
pendefinisian cinta yang sebenar, anak-anak menuruti orang-orang tua yang
menggunakan definisi cinta hollywood, lantas menterjemahkan cinta sedemikian
rupa. Kerana itu, ‘cycle’ ini tidak dapat kita pecahkan.
Kesilapan ini juga membawa kepada terbukanya maksiat.
“Mak, rasanya saya ni perlu dah kahwin.”
“Hang budak lagi. Belajar dulu.”
Sedangkan, sepatutnya itulah peluang ibu bapa mulakan perbincangan yang baik
kepada anak-anaknya berkenaan cinta dan rumahtangga. Bukan dijawab sambil lewa
sedemikian rupa. Dengan jawapan sedemikian, sang anak memberontak dan akhirnya
mengambil jalan sendiri dalam bercinta. Yang mana kita sedia maklum,
kebanyakannya tidak berakhir dengan baik, dan merentas jalan-jalan yang Allah
murkai.
Kesilapan ini juga membawa kepada kesukaran terhadap perkara yang sebenarnya mudah.
“Awk, sya rsa kta kne bncang bnda ni guna mlut. Ckp.”
“Gna email or sms je bleh x?Sbb nak jga dari zna hati.”
-----------------------------------------------------------
Perbualan di atas ini adalah SMS
------------------------------------------------------------
Dan akhirnya, perbincangan yang sepatutnya mudah, menjadi susah dengan pelbagai
interprestasi. Tulisan yang tidak bernada, membawa pelbagai spekulasi
menjadikan perbincangan yang sepatutnya lancar, menjadi berjela-jela, dan
membuatkan keputusan yang patut boleh didapatkan, bertukar menjadi perbalahan.
Akhirnya ini merosakkan hubungan kedua-dua pasangan yang ingin mendirikan
perkahwinan.
“Awak, janganlah tinggalkan saya, saya cintakan awak!”
“Awak, apa bukti awak cintakan saya?”
“Saya sanggup serah segala-galanya kepada awak.”
Diikuti dengan ciuman berahi, dan selepas itu hubungan seks.
Iya. Itu satu lagi contoh lain apabila silap mendefinisikan cinta.
Dan jika ingin saya berikan contoh, saya boleh berikan pelbagai lagi contoh
akan ‘flaw’ atau ‘kecacatan’ apabila kita silap mendefinsikan cinta. Perlahan-lahan,
ini membawa kepada kerosakan dan keruntuhan di dalam masyarakat.
Kumpulan yang ‘mengharamkan cinta sebelum kahwin’ dengan membuta tuli, tanpa
pembetulan dalam pendefinisian cinta, tanpa usaha membersihkan cinta yang
sebenar, hanya akan membawa kerosakan. Saya tidak memandang bahawa manusia
perlu kepada ayat: “Cinta sebelum kahwin itu HARAM!”, tetapi saya memandang
secara positif bahawa, yang manusia perlukan sebenarnya adalah ayat: “Cinta
yang sebenarnya adalah begini dan begini. Jika ingin bercinta, begini dan
begini caranya.”
Remaja, Veteran, Perlu Memegang
Definisi Cinta Yang Betul.
Pada saya, baik remaja dan veteran, kedua-duanya perlu memegang definisi
cinta yang sebenar.
Cinta, kalau benar cinta, mesti hendak bersama ke syurgaNya.
Apa-apa yang membawa ke nerakaNya, itu bukan cinta.
Maka semestinya apabila kita bicarakan akan ‘cinta sebelum kahwin’,
perkara-perkara yang melanggar syariat itu semestinya tiada. Cinta sebelum
kahwin yang sebenar bukanlah couple, bukanlah sesuatu yang membawa kepada
kelalaian, bukanlah sesuatu yang merosakkan. Cinta sebelum kahwin yang sebenar
pada saya adalah persediaan diri, persiapan emosi, peningkatan kematangan,
pemantapan ibadah dan usaha untuk mempersiapkan diri dalam hal kewangan. Itulah
dia cinta sebelum berkahwin.
Orang yang benar cinta akan pasangannya, akan mempersiapkan diri. Akan
meletakkan target, bila hendak berkahwin. Orang yang benar cinta akan pasangannya,
akan berta’aruf dan merapatkan diri dengan ayah dan ibu bakal isterinya.
Veteran yang memahami makna cinta yang sebenar, akan berjaya membawa urusan
perkahwinan anak-anaknya ke arah yang selamat dan diberkati oleh Allah SWT.
Anak-anak mereka akan terdidik dengan cinta yang sebenar, lantas menjauhi cinta
yang rosak dan palsu. Anak-anak mereka akan rasa indah dengan keluasan Islam
dan rasa berpuas hati duduk di dalam agama yang menjaga serta memandu fitrah
manusia.
Remaja yang memahami makna cinta yang sebenar pula, tidak akan terburu-buru
dalam urusan perasaan. Kerana hakikat cinta yang sebenar adalah ianya dipandu
oleh keimanan. Maka tidaklah mudah dia meluahkan rasa cinta, tidaklah dia mudah
hendak terjatuh hati di sini dan sana. Dan apabila dia jatuh cinta, dia akan
mengambil jalan yang benar. Malunya bertempat, dan berpada-pada. Dia akan
menyegerakannya, dan dalam penyegeraannya itu, dia berjaga-jaga.
Untuk saya, inilah dia yang sepatutnya kita ada.
Penutup: Cinta Sebelum Kahwin, Ada.
Halal. Dengan Definisi Saya.
Cinta sebelum kahwin itu ada. Halal. Dengan definisi saya.
Cinta itu pada saya mahal, dan tinggi harganya. Cinta itu pada saya membina,
dan mustahil merosakkan jiwa. Cinta menjadikan seseorang itu matang, berfikiran
jauh, bertanggungjawab, dan berusaha mempersiapkan dirinya. Cinta itu pada saya
suci, bersih dan membersihkan pula jiwa-jiwa yang menghargainya.
Silap mendefinisikan cinta, kita akan bersalah kepada yang tidak sepatutnya.
Kita akan menyukarkan mereka yang tidak sepatutnya kita sukarkan.
Kita akan mempermudahkan mereka yang tidak sepatutnya kita permudahkan.
Islam adalah agama yang bukan mengharamkan fitrah. Tetapi mengawalnya.
Maka bagaimanakah cinta itu boleh dikatakan haram? Sedang cinta itu adalah
antara fitrah yang utama. Sebelum berkahwin, selepas berkahwin. Halal. Tinggal
bagaimana kita mendefinisikan cinta itu yang membezakan.
Maka yang sepatutnya kita lakukan adalah membersihkan cinta.
Bukan mengharamkannya. Mengharamkannya, hanya akan membawa kepada 1001
lagi kerosakan kepada masyarakat kita.